DATASONIC UMUM PELAN TRANSFORMASI UNTUK MUNCUL SEBAGAI PENERAJU DALAM IDENTITI DIGITAL AI, PACU FASA PERTUMBUHAN SETERUSNYA

Biz Digest
3 min readDec 13, 2024

--

Datuk Hanifah Noordin, Timbalan Pengerusi Eksekutif & Ketua Pegawai Eksekutif Datasonic Group Berhad

KUALA LUMPUR, 13 DISEMBER 2024 — Datasonic Group Berhad (“Datasonic” atau “Kumpulan”) mengumumkan cadangan pelan transformasi yang akan menyaksikan Kumpulan muncul sebagai peneraju dalam pasaran identiti fizikal dan digital dengan ekosistem pengurusan identiti berasaskan AI dan berpusatkan digital, yang akan membolehkannya menyediakan penyelesaian identiti dan keselamatan menyeluruh yang lengkap dan selamat untuk kerajaan dan perusahaan, selaras dengan inisiatif Kerajaan Malaysia seperti MyDigital ID dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.

Bagi menyokong pelan transformasi yang dicadangkan, Datasonic berhasrat untuk melaksanakan pelaburan strategik yang akan meluaskan kehadiran pasaran Kumpulan, meningkatkan portfolio produk dan perkhidmatan Kumpulan, dan memesatkan aktiviti R&D dalamannya. Ini disokong oleh pelaksanaan untuk mengumpul sehingga RM554.95 juta melalui terbitan bonus sehingga 1.55 bilion waran atas dasar satu waran untuk setiap dua saham yang dipegang oleh pemegang saham.

“Transformasi Kumpulan kami akan menyelaraskan visi kami dengan permintaan dunia yang mengutamakan digital (digital-first) yang semakin meningkat,” kata Datuk Hanifah Noordin, Timbalan Pengerusi Eksekutif & Ketua Pegawai Eksekutif Datasonic Group Berhad. “Dengan memanfaatkan teknologi generasi akan datang seperti AI, kami menyediakan diri kami untuk memainkan peranan penting dalam inisiatif transformasi digital negara seperti MyDigital ID, memastikan kami kekal di barisan hadapan dalam menyampaikan nilai kepada pihak berkepentingan kami dan menyokong aspirasi ekonomi digital Malaysia.

“Transformasi yang dirancang ini akan memanfaatkan rekod operasi cemerlang dan kepelbagaian keupayaan kami yang semakin berkembang untuk meningkatkan prospek pertumbuhan Kumpulan dengan ketara dan mewujudkan organisasi yang lebih berdaya saing dan berdaya tahan. Akhirnya, ia juga akan menyediakan platform untuk memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat untuk pendigitalan di kalangan kerajaan antarabangsa, serta penerokaan Kumpulan ke sektor komersial, membuka peluang pasaran baharu di Malaysia dan di seluruh dunia.”

Langkah pertama dalam transformasi Kumpulan ialah cadangan pengambilalihan 51% kepentingan ekuiti dalam Innov8tif Holdings Sdn Bhd (“Innov8tif”), perintis dalam jaminan identiti digital dipacu AI dan penyelesaian onboarding pelanggan, pada harga RM40 juta. Teknologi Innov8tif, termasuk e-KYC, pengecaman wajah secara langsung, pengesahan dokumen, dan pengesanan penipuan, telah disampaikan merentasi portfolio pelanggan yang luas di negara ASEAN termasuk syarikat tersenarai awam, bank dan biro kredit.

Hasilnya, pengambilalihan yang dirancang ini akan membekalkan Kumpulan dengan akses segera dan penembusan pasaran baharu dalam perbankan, telekomunikasi, dan pelaporan kredit. Ia juga membolehkan Kumpulan mendapatkan projek baharu yang berkaitan dengan pengesahan identiti bersepadu, keselamatan biometrik, dan perkhidmatan onboarding digital untuk perusahaan dan kerajaan.

Sebagai sebahagian daripada pelan transformasi yang dicadangkan, Kumpulan telah menukar jawatan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Datuk Puvanesan Subenthiran kepada Pengarah Eksekutif berkuat kuasa serta-merta. Datuk Puvanesan merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan pengasas bersama Privasia Technology Berhad, sebuah syarikat teknologi maklumat yang disenaraikan di Bursa Malaysia. Datuk Puvanesan mempunyai pengalaman lebih daripada 25 tahun dalam perancangan strategik, penggabungan dan pengambilalihan, dan akan mengetuai strategi teknologi Kumpulan.

Selaras dengan pelan transformasi Kumpulan yang dirancang, Datasonic juga telah mencadangkan agar nama syarikat ditukar kepada “NexG Berhad”. Perubahan nama ini akan mencerminkan hasrat Kumpulan untuk menjadi peneraju dalam penyepaduan teknologi generasi akan datang, seperti AI, merentasi aplikasi kerajaan dan komersial.

***

--

--

Biz Digest
Biz Digest

Written by Biz Digest

Business News and Stock Analysis

No responses yet