PEMAJU KERETA KABEL BUKIT BENDERA AKAN BINA SISTEM MOBILITI UNTUK KUIL AIR TERJUN PUNCAK BUKIT DALAM INISIATIF CSR
1. YB. Sanisvara Nethaji Rayer Rajaji, Chairman, Penang Hindu Endowments Board Commissioners
2. Tan Sri Ravindran Menon, Executive Director, Hartasuma
3. Tan Sri N Puvan, Director, Hot Media Sdn Bhd
4. YAB Tuan Chow Kon Yeow, Penang CM
5. Dato Seri K. Kumarendran, Chairman of Waterfall Hilltop Temple, Penang
6. YB Lim Guan Eng, former Penang CM
PULAU PINANG, 11 FEBRUARI 2025 — Bersempena sambutan Thaipusam tahun ini, pemegang konsesi bagi pembangunan Kereta Kabel Bukit Bendera, Hartasuma Sdn Bhd (“Hartasuma”) mengumumkan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) untuk membangunkan lif bermotor atau sistem pengangkutan khas yang akan menyediakan akses tanpa halangan ke Kuil Air Terjun Puncak Bukit di Pulau Tikus.
Mempunyai sejarah sejak abad ke-18, Kuil Thanneermalai Shree Balathandayuthapani Devasthanam, yang lebih dikenali sebagai Kuil Air Terjun Puncak Bukit, terletak pada ketinggian melebihi 100 meter dan merupakan antara kuil terbesar di Malaysia yang didedikasikan kepada Dewa Murugan. Diiktiraf sebagai salah satu tapak kebudayaan dan keagamaan utama di Pulau Pinang, kuil ini dijangka menerima sekitar 1.5 juta pengunjung sepanjang perayaan Thaipusam tahun ini.
Bagi mendaki ke kuil di puncak bukit, pengunjung perlu menggunakan tangga yang bersamaan dengan ketinggian bangunan 20 tingkat. Pendakian yang mencabar ini telah lama menjadi halangan, terutamanya bagi warga emas, pelancong, serta individu yang mengalami kesukaran mobiliti.
“Meningkatkan akses ke tapak kebudayaan dan keagamaan utama bukan sahaja langkah penting dalam memelihara warisan kaya Pulau Pinang, malah ia juga memastikan persekitaran yang lebih inklusif, di mana masyarakat daripada pelbagai latar belakang dapat merasai keunikan budaya negeri ini,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Tuan Chow Kon Yeow, sambil menekankan manfaat jangka panjang usaha ini.
“Kami berharap dapat terus menyokong pembangunan projek yang meningkatkan aksesibiliti, sekali gus mengukuhkan perpaduan dan kesejahteraan rakyat Pulau Pinang,” tambahnya, memuji usaha yang diambil oleh syarikat berkenaan.
Sebagai langkah awal, Hartasuma akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan yang menyeluruh bagi menentukan penyelesaian teknikal yang paling sesuai untuk dilaksanakan.
“Kami komited untuk memberi impak sosial positif melalui pembangunan infrastruktur mampan. Inisiatif Mobiliti Kuil Puncak Bukit bukan sekadar soal pengangkutan — ia berkaitan dengan keterangkuman, pemeliharaan warisan, dan memastikan setiap pengunjung, tanpa mengira usia atau keupayaan, dapat mengakses tapak bersejarah ini dengan mudah,” kata Pengarah Eksekutif Hartasuma, Tan Sri Ravindran Menon.
“Kami berbangga dapat menyumbang secara dinamik kepada pembangunan Pulau Pinang dan berharap dapat bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri untuk merealisasikan visi ini,” tambahnya.
Sebagai perintis dalam industri rel Malaysia, Hartasuma membawa pengalaman luas dalam kejuruteraan rel, pembangunan infrastruktur, serta penyelesaian pengangkutan mampan. Syarikat ini berada di barisan hadapan projek pengangkutan awam negara, termasuk memainkan peranan penting dalam pembangunan infrastruktur nasional seperti Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya. Di Pulau Pinang, Hartasuma turut menerajui usaha meningkatkan kesalinghubungan melalui Projek Kereta Kabel Bukit Bendera yang dinanti-nantikan, yang dijangka menjadi satu lagi tarikan pelancongan ikonik serta merancakkan industri eko-pelancongan negeri ini.
***